mutakhir

Solat berjemaah dibenarkan di masjid, surau di Terengganu

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Solat berjemaah termasuk solat Jumaat dibenarkan di semua masjid dan surau di mukim Rasau, Dungun, tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, aktiviti keagamaan lain termasuk ceramah membabitkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan di semua masjid dan surau di mukim Rasau.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, kebenaran solat berjemaah diberikan itu bukan hanya terhad di tiga masjid di mukim Rasau, sebaliknya semua masjid dan surau di seluruh negeri.

Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah memberi perkenan semua masjid dan surau di negeri ini dibolehkan untuk solat berjemaah termasuk solat Jumaat.

"Bagaimanapun, jumlah jemaah bergantung kepada keluasan masjid dan surau.

"Aktiviti lain termasuk ceramah serta kuliah masih tidak dibenarkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mat Azmi berkata, kebenaran untuk solat berjemaah di semua masjid dan surau diumumkan selepas mendapat pengesahan tiada daerah di negeri itu dikategori sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mukim Rasau di Dungun sudah bertukar kepada zon Kuning kerana jumlah kes aktif Covid-19 yang dikesan dalam tempoh 14 hari adalah 17 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 6:13pm
    d