mutakhir

Umum PKPD awal berisiko penduduk lesapkan diri [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengumuman terlalu awal berkenaan lokaliti diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diakui boleh menyebabkan penduduk di kawasan itu melarikan diri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, memang benar ada penduduk PKPD berkenaan akan bergerak dan meninggalkan lokaliti itu.

"Memang betul kalau umum (PKPD) terlalu awal memang ada orang yang akan bergerak dan meninggalkan kawasan itu.

"Tetapi mungkin ada yang terperangkap kalau duduk di situ, contohnya mereka yang duduk di hotel akan terperangkap untuk 14 hari," katanya.

Beliau memberikan reaksi itu kepada wartawan dalam sidang media hari ini yang mempersoalkan bahawa sebelum ini kawasan bakal dilaksanakan PKPD akan dikepung dahulu termasuk kawat berduri.

Namun, PKPD di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang di Selangor diumumkan dahulu sebelum kepungan oleh pihak keselamatan dilakukan di lokaliti itu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid dilaporkan berkata, lebih 400 penduduk di dalam kawasan PKPD Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, gagal dikesan pada hari pertama pelaksanaan hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Noor Hisham berkata, penduduk yang lesap berkenaan diminta tampil melakukan saringan Covid-19.

"Saringan dibuat KKM ini adalah percuma, kalau lakukan saringan sendiri mungkin akan bayar RM300.

"Dalam hal ini, KKM dapati ada ramai pekerja asing di situ, pekerja asing yang tiada masalah adalah bukan dalam kategori pendatang tanpa izin (Pati).

"Kita rasa yang lari dari di kawasan PKPD itu adalah Pati. Ini kerana mungkin mereka bimbang selepas disaring, akan ditangkap dan dimasukkan ke depoh imigresen dan sebagainya," katanya.

Apa pun, katanya, KKM dengan bantuan pasukan keselamatan akan menjejaki mereka yang berkenaan.

Menurutnya, masalah Pati dihadapi sekarang bukan hanya di Semenanjung Malaysia tetapi Sabah dan Sarawak.

"Pati semakin meningkat. Mereka melintasi (masuk) 'jalan tikus' dari sempadan dan menyelinap ke negeri-negeri contohnya Sabah, Sarawak, Johor dan sebagainya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 8:37pm
    d