mutakhir

502 individu ditahan ingkar PKPP semalam [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Gagal mematuhi penjarakan fizikal antara kesalahan tertinggi direkodkan susulan penahanan 502 individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 204 individu ditahan atas kesalahan berkenaan manakala 99 lagi ditahan kerana tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, katanya, 63 individu ditahan kerana premis beroperasi lebih masa, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (55), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (40) dan lain-lain kesalahan (41).

"Daripada jumlah yang ditahan, 470 individu dikompaun manakala 32 individu direman.

"Menerusi Operasi Benteng, 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong ditahan selain lapan kenderaan darat dirampas.

"Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) melaksanakan 250 sekatan jalan raya," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 66,823 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel serta 21 premis lain.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 9,569 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 388 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 56,866 dibenarkan pulang.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 638 premis perniagaan termasuk 474 peruncit, 133 pemborong dan 31 pengilang.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 848 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 5:35pm
    d