mutakhir

27 penduduk Medan 88 dah pulang

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Seramai 27 penduduk yang sebelum ini dikatakan melarikan diri daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, sudah pulang setakat hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, jumlah ini termasuk 13 individu yang dikesan pada Khamis dan 11 lagi kelmarin.

Katanya, tiga lagi pulang semalam.

Menurut beliau, empat daripada 324 penduduk yang disaring selepas PKPD dilaksanakan disahkan positif Covid-19 menjadikan jumlahnya 48 orang.

"Dua warga tempatan yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sudah dibenarkan keluar dan kembali ke kediaman masing-masing kelmarin," katanya ketika dihubungi.

Seramai 44 penduduk di kawasan itu disahkan positif Covid-19 dan tergolong dalam Kluster Bah Medan sebelum PKPD dilaksanakan, 12 November lalu.

Sebelum ini, media melaporkan 400 penduduk di Medan 88 tidak kembali ke rumah selepas polis mengepung kawasan premis perniagaan itu, Selasa lalu.

Wan Kamarul berkata, tiga penduduk yang pulang semalam adalah rakyat tempatan yang berasal dari Sabah.

Katanya, setakat ini enam warga Indonesia, tiga warga Thailand, masing -masing seorang dari Myanmar, India dan Nepal manakala selebihnya rakyat tempatan sudah pulang ke Medan 88.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 11:24am
    d