mutakhir

Sektor pelancongan terjejas teruk, mohon bantuan kerajaan [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Industri pelancongan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 memerlukan 'bantuan pernafasan' daripada kerajaan jika ingin terus kekal bertahan, sekali gus membantu ekonomi negara berkembang, kata pemain industri berkenaan.

Ramai dalam kalangan pemain industri berpendapat Belanjawan 2021 untuk sektor pelancongan perlu dinilai semula, selain diberikan sokongan jauh lebih baik bagi membolehkan mereka terus berada dalam sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein berkata, jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus berlanjutan sehingga akhir tahun ini tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan, sekurang-kurangnya 40 hotel bajet di kawasan bandar utama negara akan ditutup menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja diberhentikan.

"Tiada jalan lain. Operator hotel tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan termasuk gaji pekerja. Bayangkan, untuk dapatkan tempahan bilik satu malam pun susah.

"Bagaimana kami dapat bertahan dalam masa sebulan dua ini?" katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, antara bantuan boleh diberikan kerajaan selain peruntukan khas adalah lanjutan moratorium supaya pemain industri akan dapat memfokus dengan menyusun kembali kewangan syarikat.

Selain itu, beliau mendakwa, Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion yang diumumkan kerajaan, begitu sukar diperolehi dan hanya tiga peratus sahaja permohonan daripada 2,300 ahli persatuan diluluskan kerana peraturan ketat dikenakan pihak bank.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia, Zulkifli Ismail berharap Belanjawan 2021 dapat dikaji semula dengan memberi bantuan one-off sekurang-kurangnya RM1,000 kepada pemandu pelancong yang menjadi barisan hadapan pelancongan negara.

Beliau berkata, ini kerana 80 peratus daripada 9,000 ahli persatuan adalah petugas separuh masa yang tidak mempunyai gaji tetap dan terkesan teruk sejak PKP dilaksanakan sehingga terpaksa membuat kerja lain.

"Antara bantuan lain boleh disalur kerajaan adalah menyediakan kawasan khas kepada persatuan dan ahli untuk memasarkan produk pelancongan seperti kraf tangan dan pakaian, bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan negara," katanya.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berpandangan peruntukan kerajaan terhadap usaha membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur bangunan warisan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, adalah tepat pada masanya.

Beliau berkata, ketiadaan pelancong akibat pandemik Covid-19 membantu mempercepatkan lagi usaha berkenaan, sekali gus memastikan bangunan warisan negara kekal terpelihara.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 3:05pm
    d