mutakhir

Tiga kluster baharu Covid-19 dikesan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini membabitkan dua daerah di Sabah dan tiga daerah di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Plaza di Kota Kinabalu membabitkan indeks kes ke-42,299.

Beliau berkata, kluster terbabit dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November lalu dan mereka yang terbabit dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran Mara, Kota Kinabalu.

"Saringan kontak rapat mengesan 11 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 12 tengah hari 15 November, 19 individu disaring membabitkan 12 kes dikesan positif Covid-19 (11 kes baharu) manakala tujuh lagi individu dikesan negatif.

"Kluster Jalan Kalabakan di Tawau pula membabitkan kes indeks ke-31,309 yang dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 21 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga hari ini, 22 individu disaring dengan semuanya dikesan positif Covid-19 (tiga kes baharu)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Jeri pula membabitkan daerah Kota Tinggi, Mersing dan Muar di Johor apabila kes indeks bagi kluster itu dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 November lalu.

Menurutnya, saringan kontak rapat di Malaysia mengesan 26 kes positif dan kes ini dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

"Sehingga hari ini, 1,170 individu disaring menyaksikan 26 kes dikesan positif Covid-19 (tiga kes baharu) dan 535 individu dikesan negatif manakala 609 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Sementara itu, Kluster Bah Arnab di daerah Kuching, Sarawak diisytiharkan tamat, hari ini.

"Seramai 72 individu disaring membabitkan 12 kes dikesan positif Covid-19 manakala 60 individu lagi negatif dan tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 6:58pm
    d