mutakhir

Tiada keperluan PKPB di Kelantan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan memandangkan keadaan Covid-19 masih terkawal setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, peningkatan kes tidak boleh dilihat dalam tempoh sehari dua sahaja, sebaliknya perlu melihat kepada faktor lain sebelum pelaksanaan PKPB sebagaimana di kebanyakan negeri lain.

"Peningkatan kes di Kelantan sejak kebelakangan ini memang sudah dijangka disebabkan wujudnya Kluster Kube.

"Jika dilihat kepada statistik semasa dan kluster yang ada, ia masih terkawal setakat ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, antara faktor lain yang perlu dilihat sebelum pelaksanaan PKPB adalah bilangan kluster yang ada di sesebuah negeri berkenaan.

"Pada masa sama, kluster berkenaan terkawal atau tidak, bilangan jangkitan tempatan dan pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Sehingga semalam, Kelantan mempunyai 31 kes aktif dengan satu Kluster Kube.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan Kelantan akan dikenakan PKPB bermula esok berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 1:36pm
    d