mutakhir

Pengusaha bas lapor polis, desak kerajaan bantu

Oleh Amir Mamat

Melaka: Desakan kewangan dalam mengurus perkhidmatan bas termasuk bas sekolah ketika tempoh pandemik Covid-19 memaksa Gabungan Bas Malaysia Cawangan Melaka membuat laporan polis, hari ini.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Melaka Tengah di sini, terhadap lima kementerian didakwa gagal membela nasib pemandu dan pengusaha bas negeri.

Presidennya, Muhammad Azwan Jajendran Abdullah berkata, pihaknya kecewa apabila mendakwa nasib hampir 300 pengusaha bas persiaran, ekspres, sekolah dan henti-henti tidak dibela.

"Kami perlu menanggung bayaran balik pinjaman dan segala kos lain, namun permohonan dan rayuan kami untuk bantuan tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

"Kami kecewa kerana disebabkan tiada sokongan dan bantuan menyebabkan hampir 300 pengusaha bas di negeri ini berhadapan situasi gulung tikar," katanya selepas membuat laporan polis, hari ini.

Beliau juga mendakwa ada pengusaha yang terpaksa menjual kenderaan mereka kerana tiada sumber pendapatan selain ada yang menggunakan wang simpanan untuk membayar pinjaman bank dan syarikat kredit.

Muhammad Azwan juga mendesak kerajaan supaya melanjutkan tempoh moratorium pinjaman sekurang-kurangnya hingga pertengahan tahun depan untuk mereka bertahan dalam perniagaan itu.

Pengusaha bas, Mohd Farid Eshak, 34, berkata, gaji pekerja masih dibayarnya walau tidak menerima sebarang tempahan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

"Kepada siapa lagi untuk kami mengadu kalau bukan kepada kerajaan. Sebab itulah saya berharap supaya pihak kerajaan memandang masalah kami ini dengan serius demi kebaikan bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 4:49pm
    d