mutakhir

3,550 pekerja Top Glove bakal disaring [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seramai 3,550 individu yang tinggal di asrama pekerja Top Glove di Meru, di sini akan disaring oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama itu bermula hari ini hingga 30 November.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan PKPD di asrama itu membabitkan dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B.

"Sektor A membabitkan asrama pekerja wanita Top Glove dan kawasan perumahan sekitarnya yang meliputi Jalan Abadi 5 dan Jalan Abadi 1a Off Jalan Teratai.

"Sektor B pula membabitkan asrama lelaki dan kawasan perumahan sekitarnya yang meliputi Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Sesenduk 21 Off Jalan Teratai," katanya.

Menurut kenyataan itu, keluasan kompaun parameter sektor A dan Sektor B yang terbabit adalah seluas 6.3 hektar.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD di kedua-dua sektor berkenaan akan membabitkan tiga syif dengan kekuatan seramai 200 kakitangan daripada pelbagai agensi berkaitan.

"Agensi yang terbabit adalah Pejabat Daerah/Tanah Klang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan lain-lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 4:07pm
    d