mutakhir

517 individu ditahan langgar SOP PKPB

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 517 individu ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 467 individu dikompaun manakala 50 individu pula direman.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan rentas daerah," katanya.

Menurutnya, kesalahan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal adalah sebanyak 187 kes, tidak memakai pelitup muka (83), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti di pusat hiburan (56), aktiviti perjudian (42), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (37) dan lain-lain (49)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia membuat 58,247 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

"Sebanyak 2,923 pasukan pematuhan yang membabitkan 13,140 anggota membuat pemantauan di 3,476 pasar raya, 4,833 restoran serta 1,665 penjaja selain 1,244 kilang, 3,289 bank dan 524 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau sebanyak 1,445 terminal pengangkutan darat, 249 terminal pengangkutan air serta 65 terminal pengangkutan darat," katanya.

Mengenai Op Benteng yang dilaksanakan, Ismail Sabri berkata, seramai 51 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dua penyeludup ditahan selain tiga bot serta tiga kenderaan darat dirampas.

Katany, sebanyak 274 sekatan jalan raya Op Benteng dilaksanakan semalam.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Orang ramai diminta menghubungi National Task Force di talian 011-62511223 untuk menyalurkan maklumat mengenai Pati dan jenayah rentas sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 5:03pm
    d