mutakhir

Cadang moratorium separuh

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan dicadangkan melanjutkan moratorium atau bayaran separuh ansuran bulanan kepada semua peminjam institusi kewangan dalam usaha merancakkan semula ekonomi dalam negara yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, lanjutan moratorium adalah bantuan yang menjadi pilihan dan lebih berkesan untuk merancakkan semula ekonomi negara selepas dilanda gelombang ketiga Covid-19.

Katanya, dengan bayaran separuh ansuran bulanan ia juga boleh membantu mengurangkan bebanan semua peringkat rakyat bukan sahaja golongan B40 atau yang kehilangan pekerjaan.

"Jika sebelum ini kerajaan melaksanakan moratorium selama enam bulan, namun kesan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang melanda negara saya berpendapat wajar ia dilanjutkan untuk tempoh yang sesuai.

"Atau peminjam diberi pilihan untuk membayar separuh ansuran bulanan pinjaman bank. Ini bermakna jika ada yang perlu membayar ansuran pinjaman RM1,000 sebulan, maka dengan bayaran separuh itu mereka membayar RM500.

"Dengan ini rakyat mempunyai lebihan wang untuk berbelanja yang akhirnya membantu memulihkan semula ekonomi negara yang masih terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Micheal Tay menyifatkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah i-Sinar adalah wajar.

"Saya rasa ia satu cara yang berkesan, tetapi tempoh masa enam bulan itu, adakah pandemik ini akan tamat? Dalam masa enam bulan sukar untuk mencari pekerjaan.

"Oleh itu dengan menawarkan bayaran separuh ansuran pinjaman bank boleh dijadikan pilihan kepada pencarum KWSP sama ada untuk menerima skim i-Sinar atau sebaliknya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 5:52pm
    d