mutakhir

19 kes baharu Covid-19 di Kelantan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kelantan mencatatkan 19 kes positif Covid-19, hari ini dengan satu kluster baharu iaitu Kluster Mengketil.

Jabatan Kesihatan Negeri menerusi Facebooknya memaklumkan, ia membabitkan 12 kes dari Kota Bharu, lima kes di Tanah Merah dan dua kes di Machang.

Daripada jumlah kes berkenaan, 12 kes adalah daripada Kluster Mengketil, tiga kes daripada Kluster Kube dan empat kes daripada Kluster Raya dan saringan survelan.

Kota Bharu kini berada di zon jingga dengan merekodkan 28 kes dan tiga daerah zon kuning iaitu Machang, Tanah Merah dan Jeli.

Pada masa sama, empat kes dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata orang ramai diminta berhati-hati dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memutuskan rangkaian Covid-19.

"Sehingga kini sudah terdapat dua kluster di Kelatan. Walaupun ia membimbangkan, namun masih dalam keadaan terkawal.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar serta membawa anak ke tempat orang ramai bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

"Patuhilah arahan dikeluarkan. Jika tidak penting, janganlah keluar rumah," katanya.

Kelantan merekodkan 55 kes aktif setakat hari ini membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Jeli.

Secara keseluruhan sebanyak 237 kes terkumpul direkodkan di negeri itu dengan tiga kematian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 7:45pm
    d