mutakhir

AADK perkenal 16 SOP cegah jangkitan Covid-19

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan 16 prosedur operasi standard (SOP) di setiap pusat pemulihan serta latihan bagi mengelak jangkitan atau penularan wabak Covid-19 yang kini melanda negara.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata SOP itu ditetapkan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pihaknya memandang serius perkara terbabit bagi memastikan peserta mahupun kakitangan mereka sendiri tidak dijangkiti atau terdedah dengan wabak berkenaan.

Menurutnya, antara SOP yang wajib dipatuhi seperti menjalani ujian saringan kesihatan, membuat ujian swab bagi mereka yang datang dari zon merah, kelas dan latihan di kawasan lapang dan luas selain menghadkan jumlah latihan serta penyampaian modul.

"Alhamdulillah, setakat ini kita masih belum menerima sebarang kes berkaitan jangkitan wabak ini yang membabitkan pusat pemulihan atau di mana-mana program kendalian AADK, sekali gus membuktikan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut SOP yang ditetapkan.

"Selain itu, kita pastikan tiada interaksi rapat berlaku dengan orang luar contohnya ketika proses penghantaran makanan yang mana setiap urusan hanya dilakukan di luar pusat pemulihan, jadi kebarangkalian jangkitan berlaku dapat dikurangkan.

"Malah, kakitangan AADK sendiri dinasihatkan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan selain tidak memandang remeh panduan berkenaan," katanya ketika ditemui diMajlis Malam Apresiasi Semarak Kasih AADK 2020 di Hotel H Elite Design, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

AADK Negeri Kelantan turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepulihan 2020 kepada 10 peserta bekas penagih dadah dari setiap daerah seluruh Kelantan dan sijil penghargaan media kepada tujuh agensi media eletronik dan cetak di Kelantan pada malam terbabit.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli mengulas berkaitan tanaman ketum yang kini masih lagi bukan menjadi satu kesalahan dan dalam undang-undang Malaysia ia tertakluk di bawah Akta Racun.

"Penanaman ketum belum lagi menjadi satu kesalahan, sebab kita dapati di beberapa kawasan di Malaysia masih ada tanaman ketum dan tanam itu tidak salah kerana belum menjadi kesalahan dan masih tidak ada undang-undang.

"Sebagai contoh di kawasan tertentu seperti tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), mereka tidak setuju tanahnya di tanam ketum jadi ia di tebang (bukan sebab ia menjadi kesalahan).

"Kita mencadangkan kepada kerajaan supaya penanaman ketum itu dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Akta Racun dan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang diadakan pada Julai lalu yang mewujudkan jawatankuasa teknikal undang-undang dan jawatankuasa untuk melihat kalau ada kebaikan ketum dari segi perubatan ataupun industri dan perkara sedang ini diteliti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 10:11am
    d