mutakhir

'Sabah sokong penuh keputusan Agong'

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Batu Sapi.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan itu adalah bijak berikutan pandemik Covid-19 berterusan menjejaskan kesihatan rakyat Sabah.

"Keperluan untuk menghentikan penularan wabak dan melindungi kesihatan rakyat adalah sangat penting," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah Covid-19 sentiasa bekerjasama dengan pihak berkenaan tanpa henti bagi menangani wabak itu.

Yang di-Pertuan Agong hari ini mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan PRK.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Dengan pengisytiharan itu juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 8:04pm
    d