mutakhir

Covid-19: Tujuh lagi penduduk Medan 88 disahkan positif

Oleh SamadiAhmad

Sepang: Tujuh lagi penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disahkan positif Covid-19 menjadikan jumlah setakat ini seramai 51 orang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tujuh individu itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan.

Wan Kamarul Azran berkata, sebelum ini PKPD dilaksanakan, daripada 133 penduduk yang disaring, seramai 44 disahkan positif dan menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, setakat semalam, seramai 423 penduduk yang tinggal di premis di situ sudah menjalani ujian saringan.

Katanya, 120 pekerja di premis Medan 88 yang tinggal di luar juga sudah menjalani ujian saringan dan kuarantin selama 14 hari.

"Seramai 24 pekerja lagi dijangka hadir hari ini bagi menjalani ujian saringan yang diadakan di Medan 88," katanya.

Medan 88 dikenakan PKPD bermula 12 sehingga 25 November selepas 44 penduduk di premis perniagaan itu dikesan positif jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan empat sesi ujian saringan iaitu pada 11 November membabitkan 286 penduduk, 13 November (38 penduduk), 16 November (21 penduduk) dan 18 November (77 penduduk).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 10:39am
    d