mutakhir

150,000 majlis perkahwinan tertunda

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Masih ada 150,000 majlis perkahwinan yang dirancang dalam tempoh pandemik Covid-19 di seluruh negara, tertunda.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, data itu direkodkan pihaknya yang menunjukkan penangguhan majlis sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), April lalu.

"Hanya lima peratus sahaja yang melangsungkan perkahwinan atau pernikahan mereka melalui 'online' dan yang baki masih menunggu untuk melangsungkan perkahwinan sebaik keadaan pulih.

"Ini menunjukkan majlis keramaian adalah budaya masyarakat Malaysia yang tidak dapat dihapuskan dengan perkembangan teknologi atau pandemik yang bersifat sementara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Selasa lalu yang dilapor berkata, pemain industri perkahwinan yang terkesan kerana prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dicadang bertukar kepada bidang perniagaan lain yang lebih bersesuaian buat masa ini.

Katanya, perkara itu perlu dipertimbangkan berikutan suasana perkahwinan di negara ini telah berubah selaras dengan kebiasaan baharu.

Mengulas lebih lanjut, Arabath Ali berkata, pihaknya bersedia menukar bidang perniagaan lain, namun berharap menerima sokongan dan bantuan dana daripada kerajaan.

"Kami meminta pihak menteri menyediakan dana atau geran daripada Medac supaya peniaga di industri perkahwinan dapat mulakan perniagaan baru secepat yang mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 11:47am
    d