mutakhir

150 tetamu di majlis kahwin dalam satu masa

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan melaksanakan beberapa langkah tambahan bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk mengehadkan majlis perkahwinan dan lain-lain dihadiri 150 orang pada satu-satu masa.

Menerusi surat pemakluman, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, antara langkah lain termasuk operasi premis perniagaan dihadkan sehingga 11.30 malam sahaja.

"Operasi stesen minyak dan kedai runcit dihadkan sehingga 12 tengah malam, bilangan pelanggan di kedai makan maksimum empat orang sahaja bagi satu meja makan tertakluk kepada penjarakan satu meter bagi setiap pelanggan dan dua meter bagi setiap meja.

"Semua majlis keraian hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekurang-kurangnya lima hari sebelum majlis berlangsung.

"Selain itu, semua acara sukan dan latihan membabitkan aktiviti bersentuhan tidak dibenarkan," katanya menerusi surat bertarikh 18 November.

Nazran berkata, langkah proaktif berkuatkuasa segera itu diambil bagi membendung penularan Covid-19 susulan mesyuarat khas dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, semalam.

Beliau berkata, sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memberi kerjasama dengan pihak polis bagi melaksanakan penguatkuasaan dan langkah berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Yakob ketika ditemui berkata, langkah proaktif itu berkuat kuasa serta merta-mulai semalam dan semua rakyat Kelantan diminta mematuhi arahan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 2:01pm
    d