mutakhir

Kedah harap PKPB tamat awal

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mempertimbang bagi menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal di negeri itu, berbanding yang ditetapkan pada 6 Disember.

Menteri Besarnya Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan beberapa alasan untuk dipertimbangkan MKN dalam mesyuarat khas semalam.

Katanya, antara alasan itu ialah penularan Covid-19 yang semakin terkawal dan Kedah hanya berhadapan kes import selain Kluster Tembok yang keadaannya terkawal sepenuhnya.

"Jadi saya memohon PKPB di negeri ini ditamatkan lebih awal sebelum 6 Disember. Jika ada kes di kampung atau kawasan tertentu, kita mohon adakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung itu sahaja.

"Perkara ini pernah dilaksanakan ketika PKPD Padang Sanai, Padang Terap akibat Kluster Sivagangga bagi membolehkan ekonomi di kawasan lain berjalan," katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, alasan lain yang dikemukakan dalam permohonan itu adalah bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan di Langkawi yang kini tenat.

"Tempoh PKPB lebih lama di pulau itu akan menyebabkan Langkawi 'menderita' ekoran 80 peratus kegiatan ekonominya bergantung kepada sektor pelancongan

"Jika tiada pelancong domestik, sekurang-kurangnya penduduk di tanah besar dapat ke Langkawi, (dan) ia sedikit sebanyak boleh membantu pengusaha pelancongan di sana," katanya.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKPB di Kedah, Terengganu dan Johor mungkin ditamatkan tidak lama lagi sekiranya keadaan Covid-19 bertambah baik di ketiga-tiga di negeri itu.

Keputusan itu dijangka diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 3:28pm
    d