mutakhir

UUM buat pilihan raya kampus dalam talian

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengadakan pilihan raya kampus (PRK) secara dalam talian pada 26 November, bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2020/2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, pemilihan itu akan berlangsung sepenuhnya secara dalam talian termasuk penamaan calon, kempen dan pengundian.

"Proses pilihan raya sama seperti sebelum ini, namun yang berbeza kerana ia dibuat secara dalam talian bagi memastikan tiada risiko penularan Covid-19, selain majoriti pelajar tidak berada di dalam kampus.

"Proses penamaan calon akan diadakan pada 23 November dan calon boleh mula berkempen pada tarikh itu sehinggalah pada 11.59 malam 25 November, manakala keesokannya pengundian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Hendrik berkata, bagi tujuan itu juga seramai 20 penuntut sudah mengangkat sumpah sebagai Ahli Sekretariat yang menguruskan pilihan raya itu.

Beliau berharap penuntut menjalankan tanggungjawab mengundi dan calon bertanding mematuhi peraturan dan menjaga nama baik universiti.

Pilihan raya itu diadakan selepas MPP penggal lalu terbubar pada 26 Oktober lalu, selain menjadi PRK kedua diuruskan penuntut.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 2:11pm
    d