mutakhir

Bantuan kecemasan MAIDAM tetap diteruskan

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Bantuan kecemasan kepada golongan asnaf yang terkesan tetap diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ditamatkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata bantuan wang tunai sebanyak RM300 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan susulan PKPB dikuatkuasakan sejak Isnin lalu sudah dilakukan.

Menurutnya, bantuan kecemasan wang tunai kepada 638 KIR membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.6 juta dimasukkan terus ke akaun penerima.

"Walaupun PKPB diumumkan tamat hari ini, tetapi bantuan kecemasan bagi membantu golongan asnaf yang terkesan tetap diteruskan.

"Bantuan wang itu sudah dimasukkan terus ke dalam akaun penerima secara berperingkat sejak Selasa lalu, " katanya melalui kenyataan hari ini.

M Rozi berkata demikian ketika menafikan dakwaan MAIDAM menghentikan bantuan kecemasan kepada golongan asnaf susulan penamatan PKPB seperti dimuatnaik melalui laman sosial termasuk Facebook (FB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPB di Terengganu, Johor, Melaka dan Kedah ditamatkan esok, lebih awal berbanding 6 Disember depan seperti diumumkan sebelum ini.

M Rozi menjelaskan, bantuan silinder komposit gas petroleum cecair (LPG), yang berkapasiti 14 kilogram bernilai RM155 setiap unit kepada 24,000 asnaf membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.7 juta juga akan diteruskan.

Jelasnya, penghantaran LPG terus ke rumah asnaf dilakukan untuk membantu kerajaan dalam menangani masalah penularan pandemik Covid-19 kalangan golongan asnaf.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 4:10pm
    d