mutakhir

Pekan Rantau Panjang 'hilang seri' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Suasana di pekan Rantau Panjang lengang dengan hanya separuh sahaja peniaga membuka premis atau gerai perniagaan sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak semalam.

Tinjaun NSTP mendapati, pekan terbabit bagaikan 'hilang seri', tiada lagi hiruk pikuk kenderaan atau pengunjung malah kebanyakan peniaga mengeluh kerana hilang punca pendapatan tetapi akur dengan keadaan semasa bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Turut kelihatan, agensi keselamatan seperti anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang beberapa kali melalui pekan itu bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut peniaga, Asmad Husin, 59, situasi hari ini memberi impak besar apabila dia hanya menerima lima pelanggan sehari berbanding beratus pengunjung pada hari biasa.

"Pelanggan yang datang boleh kira dengan jari. Walaupun kami dibenarkan berniaga ketika PKPB, namun masyarakat akur dengan arahan kerajaan untuk tidak keluar menyebabkan pengunjung di pekan ini berkurang secara mendadak.

"Situasi ini adalah kali pertama saya lalui sejak hampir 20 tahun berniaga di sini. Dahsyat sekali kesanya pada semua dan saya sendiri sedang berfikir sama ada untuk terus bertahan membuka gerai atau terpaksa berehat sehingga tamat PKPB.

"Sejujurnya, hanya ini sahaja pendapatan kami sekeluarga memandangkan suami saya juga sudah berumur dan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan, saya berdoa semoga keadaan dapat kembali pulih dengan segera," katanya ketika ditemui di gerai makanan dan minuman miliknya, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi peniaga, Nurul Rafiqah Zulkifli, 25, berkata, sebelum ini November dan Disember memang antara bulan yang paling banyak tutup kedai, tetapi kerana fenomena banjir.

"Sebaliknya, tahun ini ia lebih teruk kerana sedang kami bimbang dilanda banjir, pendemik Covid-19 pula melanda menyebabkan kerisauan.

"Selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kelantan hari ini (semalam), ramai antara rakan niaga dalam dilema mahu meneruskan perniagaan atau tidak, namun saya mengambil keputusan meneruskanya, tetapi hanya memperoleh seorang pelanggan sahaja dari jam 10 pagi sehingga 4 petang.

"Bukan sahaja pengunjung luar yang tak datang ke sini, malah penduduk setempat juga tidak kelihatan. Bagaimana pun, saya akur PKPB adalah langkah terbaik untuk mengatasi masalah dihadapi negara hari ini," katanya yang menjaja pelbagai jenis kekacang.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kelantan sehingga 6 Disember ini susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 10:35am
    d