mutakhir

Sedih lihat nasib peniaga kraftangan di Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Suram dan tiada pelanggan. Itu nasib dialami peniaga kraftangan berhampiran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini.

Ternyata pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan sebelum ini menyebabkan rata-rata peniaga sukar memperolehi keuntungan diharapkan.

Salah seorang peniaga Maimon Bakar ,63, berkata, situasi itu menyebabkan hanya lima peniaga yang membuka perniagaan berbanding 13 peniaga di kawasan itu berikutan ketiadaan pengunjung.

Menurutnya, dia cuba bertahan dan membuka kedainya bagi menampung keperluan perbelanjaan harian walaupun jualan amat mengecewakan.

Katanya, walaupun terdapat juga pengunjung dari sekitar Melaka dan Johor Bahru bersiar- siar di bangunan Kota A Famosa namun jualan tetap tidak memberangsangkan.

"Semalam saya pulang dengan tangan kosong. Tiada jualan langsung tambahan hujan lebat di sekitar negeri terbabit.

"Apapun, saya tetap membuka perniagaan hari ini sambil mengharapkan ada pendapatan bagi menampung pembayaran sewa bagi bulan November," katanya.

Baginya, dia kini hanya menjual stok sedia ada termasuk gula Melaka, dodol dan belacan sambil mengakui tidak berani menambah barangan baharu berikutan situasi semasa.

Pengunjung dari Cheng Marina Ramli ,36 berkata, dia bersama suami dan anak kecilnya mengambil kesempatan mengunjungi kawasan berkenaan selepas PKPB di seluruh Melaka berakhir .

Katanya, dia mengakui terkejut kerana keadaan lengang berikutan kebiasaan kawasan terbabit dipenuhi pelancong.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 7:55pm
    d