mutakhir

Inisiatif KBS bantu belia hadapi cabaran ekonomi [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan menyediakan beberapa inisiatif bagi menghadapi cabaran sosio-ekonomi oleh generasi muda akibat kesan pandemik Covid-19 yang dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

Timbalan Menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, antaranya termasuk pelaksanaan Program myGIG bertujuan meningkatkan keterlibatan belia untuk bekerja dalam ekonomi gig bagi menjana pendapatan sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Katanya buat permulaan, 2,000 orang belia berumur 18 hingga 40 tahun pada tahun ini akan terbabit dalam program ini.

"myGIG Servis menyediakan akses untuk menjana pendapatan melalui platform dalam talian seperti FoodPanda, Grab, Lalamove dan sebagainya. myGIG Servis dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Digital (MDEC) menggunakan platform sedia ada eRezeki.

"myGIG Digital Freelance yang berfungsi di atas platform MDEC bernama GLOW menyediakan peluang kepada belia yang memiliki beberapa kemahiran dan kepakaran tertentu seperti 'copywritting, data entry, recruting, content writer, web designing' dan sebagainya. Selepas menjalani latihan selama dua hari, peserta boleh membida kerja di Upwork.com dan Freelancer.com," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan P Prabakaran (PKR-Batu) berhubung rancangan dan inisiatif Kementerian bagi membantu belia menaik taraf kehidupan mereka agar Malaysia mampu melahirkan belia yang lebih produktif.

Katanya,melalui Kolaborasi Rentas Kementerian juga, pihaknha menyediakan tawaran baharu iaitu Skim Perantisan Nasional (SPN) yang dijangka menyediakan lebih 10,000 peluang pada tahun 2020.

"Kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya ini menawarkan jaminan pekerjaan yang melibatkan penempatan selama enam bulan di syarikat dan organisasi yang terbabit," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan berhubung penerusan pertandingan bola sepak di negara ini seperti luar negara, beliau berkata, pihaknya mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

"Buat masa ini sebarang perlawanan bola sepak atau liga dibatalkan akibat Covid-19. Walau bagaimanapun kita akan membantu industri sukan melalui Geran Prihatin Sukan kepada mereka yang terjejas.

"Sama ada untuk meneruskan perlawanan bola sepak pada masa akan datang, kementerian ini sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 11:39am
    d