mutakhir

Harapan ringan beban

Oleh Nurul Husna Mahmud dan Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Bantuan kewangan untuk golongan B40 dan M40 bakal mengurangkan beban ekonomi yang terpaksa ditanggung rakyat akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan sehingga kini.

Demikian pandangan rakyat berhubung peruntukan buat golongan sasar khususnya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dibentangkan Menteri Kewangan menerusi Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

Hal ini diakui pengurus pasar mini, Shahdiana Rashikin Ahmad Sohaimi, 35, yang lega apabila menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM1,600 pada peringkat awal pelaksanaan PKP lalu.

Jelasnya, dengan pelaksanaan PKP, ia agak menjejaskan pendapatan keluarga susulan suami yang bekerja sebagai pemuzik turut terkesan disebabkan kekurangan penganjuran acara dan karnival yang sebelum ini menjadi antara sumber pendapatan buat mereka.

Memutuskan untuk berpindah dan menetap di Ipoh, Perak, sejak tahun lalu selepas majikan lama mengecilkan operasi dengan mengurangkan jumlah kakitangan, ibu kepada empat cahaya mata ini lega dengan langkah diambil demi kos hidup lebih rendah.

"Mujur juga saya kini bekerja dalam sektor peruncitan jadi pendapatan saya masih terjamin namun suami agak terkesan meskipun tidaklah teruk sangat," katanya.

Menurut Shahdiana, dia yakin ramai rakyat khususnya golongan B40 cukup lega dan berterima kasih atas bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan sejak wabak Covid-19.

"BPN yang lalu amat membantu perbelanjaan keperluan rumah kami, BPN 2.0 fasa kedua pula tentunya sedang ditunggu-tunggu manakala BPR adalah bantuan yang amat kami harapkan supaya ia benar-benar disalurkan," katanya.

Dalam pada itu, Nadia Idris, 34, mengakui BPN diterima sebelum ini digunakan dengan cermat sepenuhnya untuk membeli keperluan asas khususnya barangan dapur dan lampin buat anaknya.

Selain menerima BPN 2.0 fasa pertama serta menanti pembayaran fasa kedua, suri rumah ini mengharapkan bantuan kewangan diumumkan dalam Belanjawan 2021 akan turut dilaksanakan.

"Suami berniaga makanan petang dan ada kalanya saya turut membantu tetapi hakikatnya kini pendapatan sudah tidak seperti selalu mungkin disebabkan pelanggan pun risau untuk keluar rumah, memilih masak sendiri dan sebagainya.

"Jadi apabila ada bantuan seperti BPN dan harapnya BPR pula nanti, kekurangan pendapatan membayar komitmen pinjaman dengan bank dan lain-lain tidaklah terbeban sangat," katanya.

Menjelas lanjut, Nadia yang menetap di Keratong, Pahang berkata, sebelum ini, mereka berniaga di kawasan perumahan dengan majoriti pelanggan daripada penduduk setempat dan sekitar Keratong saja.

"Sebelum ini, kami tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran pun tetapi sekarang tentulah perlu kerana kebanyakan pelanggan pun memilih perkhidmatan penghantaran berbanding datang ke kedai.

"Ini menyebabkan kami perlu menyesuaikan kaedah berniaga daripada konvensional semata-mata kepada dalam talian, kami terpaksa melanggan talian internet pasca bayar disebabkan penggunaan internet yang agak tinggi untuk berurusan dengan pelanggan," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan BPR bagi menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan amaun yang dinaikkan mengikut empat kategori ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 11:42am
    d