mutakhir

Tidak puas hati tempoh berbahas pendek [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 oleh menteri di Dewan Rakyat, hari ini tertangguh 30 minit kerana beberapa Ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan tempoh masa diberikan.

Giliran menteri yang sepatutnya bermula 11 pagi 'diganggu' ahli Yang Berhormat yang meminta Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbangkan untuk mengubah keputusan dibuat sebelum ini.

Mereka memberikan alasan waktu 20 minit diperuntukkan itu tidak mencukupi dan melanggar fungsi Parlimen untuk berbahas mengenai isu rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) berkata, keputusan untuk Ahli Parlimen tidak dibenarkan bertanya akan menyebabkan banyak soalan tidak dapat ditanya.

"Kalau kita dengar ringkasan eksekutif 20 minit dan baca penjelasan penuh di rumah, apa guna kita ada Parlimen.

"Sebab Ahli Parlimen yang tanya soalan ada di dalam dewan ini untuk mendengar. Jadi tidak terhad kepada 80 orang dan bagi ada sedikit kelonggaran bagi membolehkan mereka mendengar hujah yang menteri sampaikan," katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah- Kuala Selangor) berkata, dengan segala persiapan diambil oleh Parlimen termasuk semua Ahli Parlimen menjalani ujian calitan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lain, masa perbahasan sepatutnya boleh ditambah dengan jumlah ahli Parlimen melebihi 80 orang.

Bagaimanapun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan mengenainya dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini.

Speaker kemudiannya memutuskan akan memanggil Ketua Whip untuk berbincang mengenai isu itu, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 12:16pm
    d