mutakhir

Bantuan makanan disalurkan ke PKPD K Avenue

Oleh Yun Mikail

Penampang: Mereka yang terbabit dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tapak pembinaan K Avenue tidak perlu bimbang kerana bantuan asas makanan akan disalurkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata pelaksanaan PKPD di tapak pembinaan itu adalah bagi tidak membolehkan sebarang pergerakan keluar masuk membabitkan individu dalam siasatan (PUI) di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di lokaliti berkenaan sedikit berbeza berikutan ia hanya membabitkan rumah kongsi pekerja sahaja.

"PKPD di beberapa lokaliti lain di negeri ini seperti PKPD Kampung Numbak dan Penempatan Telipok yang membabitkan kawasan perkampungan dan perumahan masih membolehkan ketua isi rumah untuk keluar membeli barangan keperluan asas dan urusan perbankan.

"Mereka yang sedang dikuarantin di PKPD ini tidak perlu risau kerana bantuan makanan asas memang akan disalurkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Oleh itu, tiada alasan atau keperluan untuk mereka keluar bagi membeli barangan makanan namun jika terdapat sebarangan keperluan lain, kita akan terus berhubung dengan majikan mereka," katanya ketika ditemui sewaktu meninjau pemasangan pagar kawat berduri di sekitar rumah kongsi pekerja tapak pembinaan K Avenue, sebentar tadi.

Pemasangan pagar kawat berduri dilaksanakan anggota serta pegawai ATM dan Askar Wataniah.

Mempunyai keluasan kira-kira 6,000 meter persegi, pelaksanaan PKPD di lokaliti berkenaan membabitkan seramai 222 orang PUI warganegara Indonesia dan Filipina yang juga pekerja di tapak binaan projek K Avenue.

Dalam pada itu, Mohd Haris berkata penugasan anggota terdiri dari anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 4:33pm
    d