mutakhir

PRESMA sambut baik kebenaran kerajaan lanjut waktu perniagaan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Waktu perniagaan yang dilanjutkan hingga tengah malam memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pengumuman itu adalah 'bonus' kepada ahlinya yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"PRESMA menyambut baik kebenaran kerajaan yang membolehkan waktu perniagaan di restoran, kedai dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga 12 tengah malam.

"Ia akan membantu sektor perniagaan untuk meraih pendapatan lebih, selain memudahkan pelanggan membeli makanan dan minuman serta barangan keperluan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilaporkan berkata, semua kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak di kawasan PKPB dibenarkan beroperasi hingga 12 tengah malam bermula esok.

Katanya, ia susulan rungutan diterima daripada peniaga, persatuan peniaga dan orang ramai.

Selain itu, Jawahar berkata, PRESMA berharap kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan lebih daripada dua pelanggan berkongsi meja di restoran atau kedai makan.

"Ini kerana, ramai pelanggan yang datang bersama ahli keluarga tetapi terpaksa dipisahkan tempat duduk mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan," katanya.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan memperhalusi semula peraturan menghadkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan, berbanding tiga orang ketika ini.

Beliau juga berharap moratorium dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat pandemik itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: November 23, 2020 @ 10:09pm
    d