mutakhir

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Siasatan yang menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan di pos sempadan Malaysia-Thailand pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

"Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian serangan itu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut akibat ditembak, pada 3.10 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

Berita berkaitan

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 12:33pm
d