mutakhir

329 ditahan semalam kerana ingkar PKPB

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 329 individu ditahan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 311 individu dikompaun, lima individu direman dan 13 individu dijamin.

"Antara kesalahannya ialah gagal mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan rentas daerah," katanya pada kenyataan hari ini.

Kesalahan direkodkan membabitkan 131 kes tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan 51 bagi lain-lain.

Ismail Sabri berkata, pasukan operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 57,256 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,945 pasukan pematuhan membabitkan 13,721 anggota membuat pemantauan di 3,751 pasar raya, 5,066 restoran serta 1,667 penjaja, 1,392 kilang, 3,526 bank dan 598 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau ialah 969 terminal pengangkutan darat, 233 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara," katanya.

Sementara itu, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan 88 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), lima tekong selain merampas 13 kenderaan darat.

"Sebanyak 261 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam.

"Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan Pati dan jenayah rentas sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 4:44pm
    d