mutakhir

Penggunaan vaksin Covid-19 akan diperhalusi - Dr Zulkifli [METROTV]

Oleh BERNAMA

Port Dickson: Penggunaan vaksin Covid-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal masaqid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbincangan akan membabitkan pakar seperti mufti, wakil Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.

"Hal ini akan kita masukkan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk diperhalusi dan dalam masa terdekat kita akan dapat satu rumusan yang baik dengan melihat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tabung Musaadah Covid-19 kepada seorang pesakit buah pinggang di sini, hari ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Zulkifli dilaporkan berkata Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjelaskan hukum penggunaan vaksin ialah 'harus', selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

Mengenai tabung Musaadah COVID-19, Zulkifli berkata lebih RM360 juta sudah diagihkan kepada ribuan keluarga yang terjejas di seluruh negara bagi tempoh Mac hingga November.

Terdahulu, Zulkifli meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Muhammad Syahmi Mohd Shamsul Bahari, 19, yang mengalami kerosakan buah pinggang sejak berusia lima tahun di kediaman ibu bapanya di Taman Lukut Makmur, dekat sini.

Kisah Muhammad Syahmi mendapat perhatian ramai pihak sebaik disiarkan media tiga hari lalu yang melaporkan bapanya Mohd Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, berhasrat menjual kediamannya bagi mencari dana untuk membiayai kos pembedahan anak kedua daripada lima beradik itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 7:30pm
    d