mutakhir

Teliti semula kaedah saringan di negeri zon merah [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti semula kaedah saringan dan tempoh kuarantin wajib kepada individu yang pulang dari Sabah dan rentas negeri di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini kaedah itu hanya dilaksanakan bagi individu dari Sabah sebaliknya individu dari negeri berstatus zon merah di Semenanjung tidak perlu menjalani ujian saringan dan perintah kuarantin selama 14 hari.

"Kita sudah laksanakan ujian dan saringan kepada individu pulang dari Sabah yang dikategori sebagai kawasan merah untuk tempoh enam minggu dan ia semakin baik dengan kes sudah berkurangan.

"Tapi zon merah di Semenanjung seperti Selangor dan negeri yang mempunyai kes lebih tinggi dari Sabah, kita tidak saring pun mereka yang keluar dari negeri berkenaan dan kuarantin.

"Ini yang kita mungkin lihat semula kaedah itu... Kita kena imbang dalam pelaksanaan tindakan kesihatan awam," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengenai isu tempoh kuarantin 14 hari yang dianggap terlalu panjang, Dr Noor Hisham berkata, individu yang ingin memendekkan tempoh kuarantin boleh membuat permohonan kepada KKM.

Beliau berkata, satu perbincangan oleh jawatankuasa akan diadakan bagi mempertimbangkan permohonan itu mengikut Seksyen 15(1) Akta 342.

"Ada juga kita bagi pertimbangan pendek tempoh kuarantin sama ada 12 atau 13 hari seperti mereka yang perlu menjalani peperiksaan, pernikahan dan sebagainya.

"Pertimbangan akan diberikan jika ujian saringan negatif, tidak bergejala dan pemeriksaan kesihatan tidak menunjukkan risiko," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 8:14pm
    d