mutakhir

Undian bijak lawan Covid-19 [METROTV]

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin dengan kebijaksanaan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat membuat pilihan terbaik berkaitan hala tuju Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau juga yakin semua Ahli Parlimen peka dan membuat pertimbangan dengan mengambil kira situasi negara yang dilanda pandemik Covid-19

"Harapan KKM adalah agar Ahli Parlimen yang dipilih rakyat akan mengundi dengan baik dan penuh kebijaksanaan sejagat di kala negara dilanda pandemik Covid-19.

"KKM yakin mereka faham dengan situasi semasa iaitu pandemik Covid 19 dan situasi kewangan negara.

"Kita berharap Ahli Parlimen mengundi dengan bijaksana," katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, semalam.

Belanjawan 2021 mengumumkan peruntukan RM31.9 bilion bagi KKM iaitu lebih tinggi berbanding RM30.6 bilion pada tahun ini.

Di dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis sebanyak RM4.29 bilion diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus).

Peruntukan tambahan sebanyak RM475 juta turut diberi untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19 dan RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19 dan RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.

Inisiatif lain adalah menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 7:10am
    d