mutakhir

Covid-19: Kes warga asing meningkat di Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Peningkatan kes jangkitan wabak pandemik Covid-19 di Negeri Sembilan tidak membabitkan rakyat tempatan sebaliknya pekerja warga asing yang bekerja dalam sektor perindustrian dan perkilangan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri melalui mekanisme Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Covid-19 telah melaksana dan mengaktifkan pelbagai inisiatif strategik serta langkah kawalan bagi membendung penularan wabak berkenaan.

"Apabila berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing, kita mengambil pelbagai mekanisme dalam mengawal dan membendung penularan wabak itu.

"Setakat ini ia menampakkan hasil yang berkesan apabila beberapa kluster membabitkan pekerja warga asing seperti Kluster Kaya dan Kluster Cergas dapat dikawal," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan rakyat negeri ini selepas Negeri Sembilan mencatatkan kes positif baharu yang tertinggi semalam iaitu 318 kes mengatasi Sabah (293) dan Selangor (115).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan peningkatan kes di Negeri Sembilan semalam dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Bakti yang merekodkan sebanyak 301 kes.

Aminuddin berkata, kebanyakan daripada pekerja asing yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai, sudah melalui proses saringan ketiga dan sebahagian besar daripada mereka disahkan negatif.

"Saya yakin PKPD di Putra Point Nilai ini boleh ditamatkan menjelang 30 November nanti.

"Bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan kawalan pencegahan di bawah PKPD Putra Point Nilai ini, aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan akan dipergiatkan oleh agensi penguatkuasa," katanya.

Mengenai jangkitan di Penjara Seremban, beliau berkata, jangkitan itu mula dikenal pasti pada 18 November lalu.

"Pejabat Kesihatan Daerah Seremban (PKDS) telah mengawal virus berkenaan daripada terus menular dengan melaksanakan saringan bersasar kepada 289 pegawai dan banduan terutamanya di kawasan penularan kes pertama kali dikesan.

"Seramai 25 orang didapati positif, manakala baki yang lain adalah negatif dengan peratus kebolehjangkitan virus terbabit sekitar 8.7 peratus," katanya.

Menurut Aminuddin, Negeri Sembilan mempunyai sejumlah enam stesen kuarantin (QS) yang diwartakan dan empat pusat kuarantin serta rawatan Covid-19 risiko rendah (PKRC) dengan keupayaan kapasiti sebanyak 2,396 katil.

"Ketika ini kapasiti semua pusat berkenaan adalah berada di tahap 68 peratus dan dijangka mampu untuk menampung kapasiti pesakit atau individu yang perlu dikuarantin.

"Kerajaan Negeri yakin kapasiti sedia ada berdasarkan unjuran jumlah pesakit positif dan individu kuarantin yang telah sembuh adalah mencukupi.

"Penyesuaian serta penyelarasan sentiasa dibuat oleh pihak berkaitan bagi memastikan kapasiti pusat kuarantin dan PKRC di negeri ini berada di tahap yang optima," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 11:28am
    d