mutakhir

Tak perlu lari...ujian saringan Covid-19 tak sakit pun!

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Tindakan seorang pekerja sebuah pusat beli belah membatalkan hasrat untuk melarikan diri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan terhadap Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, ternyata membawa berita baik kepadanya.

Ia berikutan, ujian saringan Covid-19 kali kedua yang dilaksanakan terhadapnya mendapati dia disahkan negatif.

Siti Hariza Muin, 24, berkata, pada awalnya dia bercadang untuk melarikan diri dan enggan pulang ke kediamannya di Medan 88 selepas dimaklumkan rakan serumah bahawa lokasi itu dikepung polis.

Dia yang bekerja sebagai jurujual sebuah pusat perniagaan terkenal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), takut untuk menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan berita tular di media sosial.

"Saya memberitahu kaedah digunakan untuk saringan itu amat menyakitkan.

"Bagaimanapun saya mengambil keputusan untuk pulang dan tinggal bersama rakan di Medan 88 itu. Namun saya lega apabila disahkan negatif Covid-19 selepas dua kali menjalani ujian saringan.

"Keputusan diambil untuk pulang ke Medan 88 ini sangat tepat kerana ia dapat menentukan saya dijangkiti atau sebaliknya," katanya ketika ditemui selepas PKPD ditamatkan di kawasan perniagaan itu awal pagi tadi.

Dianggarkan antara 700 hingga 800 penduduk tinggal di Medan 88. Kawasan itu dikenakan PKPD bermula 12 hingga 25 November susulan penularan Covid-19 di lokasi itu,

Sementara itu pekerja kargo di KLIA, Norhafiza Othman, 37, berkata, pengalaman tinggal terkurung di dalam lokasi PKPD sukar dilupakan.

"Pada ketika itu saya hanya teringatkan ahli keluarga yang tinggal jauh di kampung. Saya berserah kepada Allah SWT semoga dijauhkan daripada dijangkiti pandemik berbahaya itu.

"Syukur saya tidak dijangkiti Covid-19. Malah sepanjang PKPD itu juga, kami menerima pelbagai bantuan bekalan makanan sumbangan dari kerajaan, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 5:09pm
    d