mutakhir

Jangan panik..mereka bukan nak lari PKPD [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis Selangor menafikan dakwaan sekumpulan pekerja warga asing kilang Top Glove yang dikuarantin memanjat pagar untuk lari keluar dari asrama mereka sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, siasatan polis sebaliknya mendapati gambar itu dirakam ketika pekerja lelaki sedang memanjat untuk masuk ke asrama mereka.

"Gambar itu tular di media sosial seperti Facebook dan WhatsAps menunjukkan sekumpulan lelaki sedang memanjat pagar, dengan tajuk 'pekerja kilang Top Glove memanjat pagar selepas kawasan itu dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)'.

"Semakan polis mendapati gambar itu adalah gambar hari pertama PKPD dikuatkuasakan di asrama pekerja terbabit iaitu pada 17 November lalu.

"Dakwaan itu tidak benar sama sekali, polis menafikannya kerana gambar itu di sektor B, asrama lelaki, yang menunjukkan pekerja warga asing sedang memanjat masuk ke dalam asrama, bukan memanjat keluar dari asrama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, tadi.

Muhammad Yazid berkata, siasatan juga mendapati pekerja terbabit bertindak demikian kerana dipercayai mahu mengambil jalan mudah dan tidak mahu menggunakan pintu utama asrama.

"Ketika itu PKPD hari pertama dilaksanakan, kawat duri sedang dalam proses pemasangan di asrama berkenaan.

"Kemungkinan pekerja yang berada di luar asrama mengambil jalan mudah untuk memanjat masuk ke asrama dan tidak mahu menggunakan pintu utama asrama kerana melihat ada polis tentera, jadi mereka pilih panjat pagar," katanya.

Beliau berkata dengan penjelasan itu, pihaknya berharap penularan gambar itu dihentikan kerana berita tidak benar boleh mendatangkan kegusaran dan ketenteraman awam di sekitar kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 5:53pm
    d