mutakhir

Polis Pahang sedia hadapi banjir dalam normal baharu

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Polis Pahang bersiap siaga bagi menghadapi banjir terutama dalam normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pematuhan SOP itu untuk memastikan anggota keselamatan tidak dijangkiti wabak itu ketika operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir dilakukan.

Beliau berkata, perbezaan SOP kaedah operasi menyelamat mangsa banjir tahun ini terpaksa dilakukan kerana negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

"Segalanya perlu mematuhi peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Antara perbezaan ialah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut disediakan bilik isolasi.

"Selain itu hanya satu keluarga akan diletakkan dalam satu bilik darjah selain makanan akan disediakan secara bungkus berbanding memasak secara bergotong-royong di PPS sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Pengendalian Motosikal Ringan Kelas B2 bagi Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Pahang Siri1/2020 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alor Akar, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 7:27pm
    d