mutakhir

SPR, MKN, KKM bincang darurat atau tidak DUN Bugaya [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melihat sama ada wujud keperluan perisytiharan darurat mahupun tidak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah dan Parlimen Gerik, Perak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang perubahan akan diputuskan selepas KKM membuat penilaian risiko penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

"Untuk menentukan tindakan seterusnya, saya percaya SPR akan berbincang dengan MKN dan KKM bagi menentukan tindakan yang patut dilakukan SPR.

"Tidak tahu lah perlu ada darurat ke atau tidak, itu kita serahkan kepada perbincangan seterusnya.

"Seperti kita katakan, kerajaan tidak campur tangan kerana SPR badan bebas dan mereka yang menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan atau ditangguhkan melalui pengisytiharan darurat.

"Darurat hanya untuk menangguhkan pilihan raya. Apabila kita mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, bukan bermakna seluruh Batu Sapi dikawal tentera dan perintah berkurung.

"Kehidupan dan perniagaan berjalan seperti biasa. Yang berubah ialah tarikh pilihan raya boleh ditunda kerana perisytiharan darurat," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas sama ada kerajaan mahu mencadangkan darurat di kawasan DUN Bugaya dan Parlimen Gerik seperti Batu Sapi.

Hari ini, SPR menetapkan PRK bagi kerusi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya, dijalankan serentak pada 16 Januari tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 8:16pm
    d