mutakhir

577 individu ditahan ingkar PKPB

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 577 individu ditahan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 522 individu dikompaun, lima direman dan 55 lagi dijamin.

Kesalahan dilakukan membabitkan 215 gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, aktiviti pusat hiburan (116), tidak memakai pelitup muka (113), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (53) dan sembilan bagi lain-lain.

"Pasukan operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 63,722 pemeriksaan semalam bagi menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,737 pasukan pematuhan membabitkan 13,387 anggota membuat pemantauan di 3,426 pasar raya, 4,949 restoran serta 1,866 penjaja, 1,336 kilang, 3,435 bank dan 552 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 941 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air serta 83 terminal pengangkutan udara," katanya pada kenyataan hari ini.

Menerusi Op Benteng, 49 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan dua penyeludup ditahan manakala empat kenderaan darat dirampas.

"Sebanyak 278 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam.

"Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 berkaitan pendatang asing dan jenayah rentas sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 4:45pm
    d