mutakhir

400 koperasi kredit terkesan akibat Covid-19

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Dianggarkan 400 daripada 600 koperasi kredit yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerima kesan ketara sejak Mac lalu, akibat penularan wabak pandemik Covid-19.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pendapatan mereka berkurangan kira-kira 30 peratus berikutan pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan yang berakhir 30 September lalu.

Katanya, pelaksanaan moratorium oleh koperasi itu dapat meringankan beban peminjam yang berdepan kekangan kerana wabak berkenaan.

"Koperasi seperti syarikat entiti perniagaan lain dan disebabkan peminjam tidak membayar balik kepada kebanyakan koperasi (yang menjalankan moratorium), ia menjejaskan pendapatan mereka.

"Koperasi kredit ini sepatutnya mampu mendapat perolehan RM1.2 bilion sebulan, namun kerana moratorium dilaksanakan mulai April lalu, mereka hanya dapat buat kutipan pinjaman RM300 juta sebulan.

"Mereka terpaksa menanggung perolehan itu kerana moratorium, namun ia perlu dilakukan bagi meringankan beban peminjam yang berdepan cabaran besar kerana Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 70 keluarga mangsa banjir dalam program Coop-Care Angkasa di Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 5:44pm
    d