mutakhir

3 remaja gagal rentas negeri guna kereta api

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Cubaan tiga remaja untuk merentas negeri menggunakan pengangkutan awam tidak berhasil apabila mereka dikenakan kompaun RM1,000 dalam operasi yang diadakan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, pagi semalam.

Dalam operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 10.30 pagi itu, dua remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun gagal menunjukkan surat kebenaran yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melakukan pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kegagalan mereka menunjukkan surat kebenaran itu menyebabkan ketiga-tiga remaja berkenaan dikenakan kompaun berikutan tidak mematuhi SOP PKPB.

"Polis daerah ini sentiasa menjalankan operasi secara menyeluruh bahkan tanpa henti bagi memantau orang awam untuk mematuhi saranan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, selain tiga remaja itu, polis turut mengeluarkan 10 kompaun atas kesalahan mengingkari SOP PKBB di beberapa kawasan sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

"Tidak mendaftar masuk menggunakan kod QR MySejahtera atau mencatat nama pada buku, tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak fizikal ketika berkumpul.

"Kesalahan ini masih berulang walaupun ia sudah menjadi normal baharu sejak penularan Covid-19 tetapi orang awam didapati tidak peduli.

"Polis akan sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa dan berharap semua dapat bertanggungjawab supaya dapat melandaikan lengkuk penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 1:43pm
    d