mutakhir

Sabah wujudkan SOP khas Covid-19 hadapi banjir

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi bencana banjir ketika pandemik Covid-19 masih membimbangkan berikutan ketibaan musim Monsun Timur Laut atau tengkujuh.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ia termasuk memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan jumlah mangsa yang bersesuaian dengan amalan penjarakan fizikal ditetapkan pihak berkuasa.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menyediakan sebanyak 215 PPS di seluruh negeri yang boleh menempatkan seramai 162,540 mangsa banjir.

"SOP khas bagi kemasukan mangsa ke PPS adalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kapisiti di setiap PPS akan dikurangkan bagi memastikan penjarakan fizikal diamalkan oleh setiap mangsa dan jika berlaku pertambahan mangsa, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan menempatkan mangsa selebihnya ke PPS yang lain," katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Masidi berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sudah membuat perancangan awal termasuk persiapan logistik, penempatan mangsa dan peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai persediaan bagi menghadapi bencana banjir di negeri ini.

Katanya, semua agensi yang berkaitan sudah mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyelaras penyediaan kemudahan logistik.

"Bagi persediaan untuk pemindahan mangsa pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah khususnya agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan KKM sudah menyediakan PPS untuk mangsa banjir mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) sudah menyediakan satu SOP khas bagi pengurusan mangsa di PPS mengikut piawaian yang ditetapkan KKM bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, ia termasuk saringan asas, menyediakan buku pendaftaran dan imbasan My Sejahtera, pengasingan mangsa serta rawatan lanjut bagi mangsa yang bergejala oleh pihak KKM.

Banjir di Sabah, khususnya di daerah yang sering berdepan masalah itu seperti Beaufort, Tenom, Kota Belud, Pitas dan Kota Marudu biasanya bermula pada Disember hingga awal tahun.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 10:50pm
    d