mutakhir

Rayu Zoo Negara dibuka jika PKPB disambung

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pengurusan Zoo Negara merayu kerajaan membenarkan ikon riadah negara itu dibuka walaupun kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @Rahmat Ahmat Lana berkata, wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang bermesyuarat esok untuk berbincang dengan pihaknya mengenai permintaan Zoo Negara yang mahu membuka semula zoo itu sepanjang PKPB.

"Wakil MKN akan bermesyuarat dengan kita esok dan kita buat rayuan kalau boleh zoo dibuka walaupun PKPB.

"Kita minta sebab SOP (prosedur operasi standard) semua dah lengkap dan mampu mengamalkan penjarakan fizikal berikutan zoo ini berkeluasan 21 hektar.

"Selain itu, kami akan mengehadkan kemasukan 1,500 pelawat sehari secara berperingkat dan bukan sekaligus," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya yakin SOP dan penjarakan fizikal boleh diamalkan memandangkan Zoo Melaka juga dibuka kepada orang ramai.

"Kita mampu jaga SOP dan sudah buat rayuan kepada MKN tetapi belum diluluskan lagi, ini saja jalan bagi mengurangkan beban kewangan kami," katanya.

Selain itu, Rosly menjelaskan, Dana Prihatin Kebajikan Hidupan liar berjumlah RM1.3 juta diberikan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah dibelanjakan keseluruhannya untuk makanan haiwan dan pengurusan zoo.

"Keseluruhan perbelanjaan dana ini telah diperincikan dalam laporan audit yang diserahkan kepada Perhilitan pada Julai lalu.

"Setiap perbelanjaan kita perincikan dan sudah audit, kebanyakannya kita memang guna khas untuk makanan haiwan.

"Perbelanjaan bulanan yang ditanggung Zoo Negara setiap bulan merangkumi makanan haiwan RM350,000, elektrik RM140,000 dan air RM40,000, ini tidak termasuk gaji dan elaun 140 kakitangan kami," katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin dapat berdiri semula dan berdikari daripada mengharapkan bantuan sebaik Zoo Negara dibuka kepada orang ramai.

"Sudah 57 tahun kita berdikari, tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang di luar jangkaan menyebabkan kita tidak mempunyai pendapatan langsung," katanya.

Ditanya terdapat cadangan yang mahu haiwan itu dilepaskan ke beberapa habitat sementara dan dipasangkan alat pengesan lokasi (GPS) supaya dapat mencari makanan, Rosly berkata, perkara itu adalah mustahil untuk dilakukan.

"Kebanyakan haiwan kami bukan berasal dari Malaysia, adalah mustahil untuk mereka menyesuaikan diri dalam hutan kita.

"Contohnya Hippopotamus (badak air) kita mahu lepaskan ke mana, sungai kita ke? Begitu juga dengan zirafah dan kangaru.

"Selain itu, harimau dan singa kita juga sudah dilatih dalam kurungan dan tidak akan mampu memburu di luar sana, kemungkinan mereka akan dicederakan oleh hidupan liar lain sangat tinggi," katanya.

Sebelum ini, Metro Ahad melaporkan, dana Zoo Negara yang menjadi ikon riadah negara sejak 1963 dikatakan hanya mampu bertahan tiga bulan lagi.

Peruntukan yang semakin tipis itu bukan hanya untuk kelangsungan hidup 140 kakitangan tetapi kos besar bagi mengisi perut kira-kira 4,000 haiwan yang menghuni Zoo Negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 3:14pm
    d