mutakhir

30 individu dikompaun cuba rentas negeri, daerah

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 306 individu dikompaun semalam selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 311 individu ditahan kerana melanggar arahan PKPP manakala lima daripadanya direman.

"Seramai 97 orang ditahan kerana tidak memakai pelitup muka manakala 75 gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan 69 individu gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran pelanggan.

"Selain itu, 30 individu ditahan kerana rentas negeri dan daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran, 26 lagi membabitkan aktiviti di pusat hiburan dan 14 atas kesalahan lain," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 273 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas tiga bot dan kapal serta sebuah kenderaan darat bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga semalam, 79,128 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 78 hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 67,356 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 5:24pm
    d