mutakhir

1,472 kes positif Covid-19 hari ini

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Hari pertama Disember terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia apabila 1,472 kes direkodkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan kumulatif kes positif sebanyak 67,169 dengan kebolehjangkitan adalah 10,495 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,467 kes pula merupakan penularan tempatan.

"Kes sembuh hari ini sebanyak 1,552 kes dan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 56,311 kes atau 83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lalu, negeri di seluruh negara menunjukkan jumlah kes harian yang lebih stabil.

"Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan kebelakangan ini adalah berpunca dari tapak binaan dan kilang dan angka ini susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Teratai merekodkan sebanyak 778 kes daripada keseluruhan jumlah kes harian dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di Selangor.

Katanya, sejak 7 November lalu, seramai 6,603 individu disaring bagi Kluster Teratai dengan 5,056 kes dikesan positif.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes membabitkan 331 warganegara dan 4,725 kes pula bukan warganegara.

"Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan tiga kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 363 kes.

"Kematian membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 64 tahun di Sabah dan dua daripada mereka mempunyai rekod penyakit darah tinggi, kencing manis, kanser dan jantung," katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 120 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 44 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:42pm
    d