mutakhir

111 kontak rapat inspektor polis positif Covid-19 dikuarantin

Oleh Omar Ahmad

Iskandar Puteri : Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, disahkan positif Covid-19.

Susulan itu, 111 kontak rapat pegawai polis itu dikuarantin di rumah bermula 30 November lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 111 individu itu membabitkan 36 pegawai, 71 anggota, seorang kakitangan awam dan tiga ahli keluarga.

Katanya, mereka dikuarantin bermula 30 November lalu sehingga mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

"Memang ada pegawai polis dari IPD Iskandar Puteri yang berinteraksi dengan seorang individu positif Covid-19.

"Kita sudah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebahagian yang terbabit sudah dikuarantin.

"Memang ramai anggota dan pegawai yang diarah kuarantin," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah, Dadah Dan Sosial (MEKAR) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Horizon Hills Golf and Country Club, di sini, hari ini.

Bagi memastikan pentadbiran serta operasi IPD terbabit tidak terjejas, Ayob Khan berkata, pihaknya sudah menghantar anggota dan pegawai dari IPK Johor bagi membantu melancarkan perkhidmatan IPD berkenaan.

"Walaupun jumlah ramai, kita sudah atur gerak pegawai dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) yang akan memberi bantuan urusan pentadbiran, operasi, gerak atur sudah disusun.

"Masyarakat tidak perlu bimbang, kita sudah atur gerak, mereka bukan positif lagi cuma mereka ada kontak dengan individu positif di luar IPD," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 4:07pm
    d