mutakhir

Inisiatif Kiosk UiTM Prihatin bantu penuntut, kakitangan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kiosk UiTM Prihatin diwujudkan bagi menyelaraskan bantuan kepada golongan asnaf, kurang berkemampuan atau kumpulan B40.

Kiosk UiTM Prihatin adalah inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kedah selepas mempertimbangkan perlunya satu pusat sehenti bagi penyelarasan sumbangan kepada penuntut.

Dalam kenyataan media, UiTM Cawangan Kedah memaklumkan, pihaknya prihatin terhadap masalah yang dihadapi penuntut khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurut kenyataan itu, melalui inisiatif itu, antara bantuan disalurkan ialah beras, roti, sardin, mi segera, biskut, milo dan minuman segera terus kepada penuntut dan kakitangan yang memerlukan.

"Program UiTM Prihatin ini sudah lama dijalankan di UiTM Cawangan Kedah melalui program penuntut dan program kakitangan bersama komuniti di sekitar universiti.

"Antara nama yang digunakan program bantuan ini seperti Foodbank, Open Table, Rak Terbuka dikhususkan kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya, hari ini.

Program berkenaan juga mendapat sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Wan Romani Wan Salim.

Wan Romani berkata, inisiatif UiTM Cawangan Kedah atas membantu golongan asnaf, kurang kemampuan dan pelajar dari golongan B40 perlu diteruskan.

"UiTM sebagai satu entiti pendidikan menitik beratkan kebajikan dan kesejahteraan penuntut secara tidak langsung UiTM Cawangan Kedah juga amat mengutamakan isu ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 9:16pm
    d