mutakhir

Plaza Hentian Kajang kini lengang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: "Jika dulu tempat ini sentiasa dipenuhi orang ramai, sekarang nak dapat enam pelanggan pun susah," kata Michael, 40, pengurus sebuah restoran di Plaza Hentian Kajang di sini.

Menurut Michael, jumlah pengunjung ke kawasan berkenaan semakin berkurangan apabila lokasi terbabit dibuka kepada orang ramai selepas lebih sebulan tempat itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Oktober lalu.

Katanya, semua premis di lokasi berkenaan terjejas apabila jumlah pengunjung mencatatkan penurunan drastik sejak ia dibuka semula 25 November lalu.

"Sebelum ini, restoran ini akan dipenuhi orang ramai, namun keadaan sekarang berubah apabila pengunjung semakin berkurangan. Malah, ada premis kosong apabila langsung tiada pengunjung yang datang.

"Keadaan ini menyebabkan pendapatan restoran ini terjejas teruk," katanya ditemui di Plaza Hentian Kajang hari ini.

Peniaga kuih di Plaza Hentian Kajang, Shahrizal Zabir, 40, berkata, keadaan sunyi di kawasan berkenaan menjejaskan pendapatannya.

"Sekarang, bekalan kuih yang diniaga setiap hari tidak habis kerana tidak ramai yang datang ke kawasan ini sejak ia dibuka semula.

"Mungkin orang ramai masih takut untuk datang kerana kawasan ini pernah mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Tenaga, Muhammad Hafizudin Rahim, 23, berkata, dia datang ke kawasan berkenaan untuk bertemu rakan selain membeli barang keperluan.

"Kawasan ini (Plaza Hentian Kajang) dekat dengan rumah saya. Jadi, lebih mudah untuk saya mendapatkan barangan keperluan selain ramai rakan tinggal di sini.

"Memang ada perasaan risau untuk ke sini, namun saya memikirkan bahawa lokasi ini sudah disanitasi oleh pihak berkuasa, ia menjadikannya selamat untuk orang ramai.

"Pada masa sama, saya juga mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang berada di sini dan kawasan lain," katanya.

Tinjauan Harian Metro di Plaza Hentian Kajang turut mendapati, kawasan berkenaan lengang malah sebahagian kedai ada yang ditutup.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 3:24pm
    d