mutakhir

438 individu dikompaun ingkar PKPP

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 438 individu dikompaun semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 482 individu ditahan kerana melanggar arahan PKPP, 40 lagi direman dan empat dijamin.

"Seramai 69 orang ditahan kerana tidak memakai pelitup muka manakala 128 gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan 101 individu lagi gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran pelanggan.

"Selain itu, 137 individu ditahan membabitkan aktiviti di pusat hiburan, 26 individu lagi kerana rentas negeri dan daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran dan 21 atas kesalahan lain," katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 296 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 68 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 10 tekong manakala tiga kenderaan darat dan 1 bot dirampas bagi mengekang kemasukan Pati terutama di lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga semalam, 80,748 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 78 hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 11,862 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 68,384 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 6:47pm
    d