mutakhir

403 kompaun, 9 direman kerana ingkar

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sejumlah 412 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 403 orang daripadanya dikompaun dan sembilan individu direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (135), aktiviti pusat hiburan (113) dan tidak memakai pelitup muka (64).

"Seramai 59 individu melakukan kesalahan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 27 orang kerana cuba merentas daerah/negeri PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran selain 14 lagi atas lain-lain kesalagan," katanya dalam kenyataan media perkembangan PKP hari ini.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 296 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 11 tekong.

Selain itu, katanya dua kenderaan darat dan sebuah bot dirampas bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga semalam, 81,240 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 75 hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 11,628 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 69,049 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Bagi barang keperluan asas, katanya, pemantauan harian yang dibuat Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 12 jenis barangan di 686 premis perniagaan mendapati ia mencukupi dan mudah diperoleh penduduk.

Beliau berkata, pegawai KPDNHEP melakukan 842 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan mendapati 841 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan, manakala satu premis dikenakan amaran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:13pm
    d