mutakhir

Rumah dimasuki pencuri, Covid-19 punca penduduk enggan pindah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Polis sudah berbincang dengan pemimpin tempatan berkaitan usaha memujuk penduduk kampung yang enggan berpindah jika situasi banjir terus berisiko di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ia berikutan ada penduduk yang dikenal pasti enggan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atas faktor tertentu sehingga sanggup merisikokan nyawa.

Menurutnya, pihaknya sudah berbincang dengan agensi berkaitan untuk pastikan penduduk terjejas banjir berpindah sebaik diarahkan.

"Semalam pun kami bersama pemimpin setempat turun padang berjumpa penduduk kampung dan ramai dalam kalangan mereka yang menyatakan persetujuan untuk berpindah sebaik diarahkan.

"Selain memujuk, kami juga ada kaedah tertentu yang akan diguna pakai dalam usaha menyelamatkan mangsa untuk berpindah supaya tidak terperangkap dalam banjir sekali gus membawa risiko kepada mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Simpangan di sini, hari ini.

Katanya, antara faktor mangsa banjir enggan berpindah adalah disebabkan bimbang berlaku kejadian pecah rumah jika kediaman mereka ditinggalkan selain penularan wabak Covid-19 di PPS.

"Semua kebimbangan itu tidak perlu dikhuatiri kerana agensi penyelamat serta pihak berwajib sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sama ada ketika operasi menyelamat atau di PPS," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya tidak menafikan berlakunya aktiviti penyeludupan ketika banjir walaupun Sungai Golok dinaiki air.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 3:39pm
    d